UMNO Johor Tumpu Penyelesaian Secara Berhemah, Suntik Kembali Semangat Akar Umbi

UMNO Johor Tumpu Penyelesaian Secara Berhemah, Suntik Kembali Semangat Akar Umbi

JOHOR BAHARU, 3 Dis — UMNO Johor bakal menekankan soal penyelesaian secara berhemah masalah dalaman parti serta menyuntik semula semangat kepada akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula Selasa ini.

20151203223241Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Md Jais Sarday berkata adalah penting agar perhimpunan kali ini dijadikan sebagai medan utama bagi menyelesaikan segala permasalahan dan perbincangan isu-isu penting dalam parti.

“Kita tidak ada usul yang khusus tapi dalam perbahasan itu kita akan pastikan wakil-wakil kita akan menyampaikan apa hasrat dan rasa di peringkat akar umbi ini.

Saya akan pastikan apa sahaja yang disampaikan adalah dalam bentuk satu, kefahaman dan kedua adalah bahasa yang lebih baik sebab kita nak mencari arah tuju dan penyelesaian bersama tentang apa yang parti sedang hadapi sekarang ini,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Perdana Bajet 2016 Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu atau usul khas yang akan dibangkitkan oleh UMNO Johor pada perhimpunan agung yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra mulai 8 Dis sehingga 12 Dis ini.

Md Jais, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata kepimpinan tertinggi parti juga akan diingatkan agar memulihkan semula semangat pemimpin akar umbi, termasuk kemungkinan pemimpin tertinggi parti turun padang dalam membantu pemimpin akar umbi memberi kefahaman mengenai isu-isu yang berlaku.

Beliau berkata parti itu kini sedang berhadapan dengan perbezaan pandangan oleh beberapa pemimpin utama dalam parti, yang mana boleh diselesaikan dalam suasana berhemah.

“Perbezaan pandangan ini, saya nak tegaskan kita tidak boleh selesaikan dalam keadaan terbuka ataupun secara keras. Mesti ada kaedah untuk meraikan pandangan yang berbeza supaya penyelesaian ini dapat berlaku dengan baik,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Mahkota itu.

Dalam masa yang sama, pandangan dari pemimpin akar umbi perlu terus diambil kira kerana mereka merupakan pendokong kekuatan parti dan yang paling hadapan sekali dalam menghadapi masyarakat, kata Md Jais.

“Pemimpin cawangan yang duduk di kedai kopi dan warung sebagainya, mereka yang berhadapan dengan masyarakat, jadi mereka juga perlu diberi kefahaman tentang apapun isu atau perkara yang berlaku ini.

Ada di kalangan mereka ini, bila mereka cuba pertahankan parti, kadang-kadang menjadi bahan perlekeh orang ramai bila mereka tak dapat menjawab isu,” kata beliau.

Perhimpunan Agung UMNO bakal dimulakan dengan perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, dan diikuti dengan perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 10 Dis.