TMJ Sasar JDT Layak Ke Liga Juara-Juara Asia Musim Depan

JOHOR BAHRU: Kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang FELDA dalam pusingan suku akhir Piala Malaysia di Larkin baru-baru ini tidak menghalang Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk merancang sesuatu yang lebih hebat pada musim depan.

Tunku_Ismail_Sultan_Ibrahim_02052015_620_413_100Di dalam temubual yang di muatkan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berpuas hati dan gembira prestasi kelab JDT yang cukup membanggakan pada tahun ini.

“Setelah menjulang Piala AFC, saya amat gembira. Piala Malaysia merupakan kejohanan yang berprestij, tetapi ianya bukan sasaran kita.”

“Felda adalah sebuah pasukan yang handal. Mereka telah mengalahkan kita di Larkin, sesuatu yang bukan banyak pasukan mampu lakukan.”

“Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan pasukan-pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia” kata baginda.

Baginda juga meluahkan rasa teruja untuk bekerjasama dengan sebuah jenama pengeluar pakaian dan aksesori sukan antarabangsa dan harapan baginda untuk musim depan.

“Persaingan untuk musim hadapan tentu amat kompetitif. Kita amat teruja untuk bekerjasama dengan Adidas.”

“Kita juga berharap untuk layak ke Liga Juara-Juara Asia. Kita tidak menetapkan sasaran yang tinggi, hanya untuk menduduki antara empat tangga teratas dalam liga” kata baginda.

Di dalam temubual itu, Tunku Ismail juga menyatakan pendapat baginda dengan merasakan Felda dan Pahang antara pasukan terbaik kerana penyokong bolasepak negara yang mengatakan dua pasukan tersebut adalah yang terbaik di Malaysia.