Johor Sah Haram Penjualan Vape

NUSAJAYA: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin telah memutuskan untuk mengharamkan penjualan vape di premis perniagaan di seluruh negeri ini berdasarkan lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Januari 2016.

AYUB- LatipPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata pengharaman ini dipersetujui kerana mendatangkan kesan yang tidak baik kepada kesihatan terutamanya memberi pengaruh negatif kepada generasi muda untuk mencubanya.

Pihaknya juga akan mengedarkan arahan keputusan kepada semua PBT secepat mungkin bagi membolehkan mereka menguatkuasakan undang-undang.

“Kita menjujung kasih kepada DYMM Sultan Johor kerana memikirkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat” katanya.

Menurutnya, peniaga yang ingkar dengan arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang kecil di bawah akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan boleh dikenakan denda di antara RM500 hingga RM2,000 serta merampas barangan tersebut.

“Kita mengharamkan penjualan vape tetapi kalau pengguna ingin hisap vape, kita tidak boleh mengenakan tindakan berdasarkan undang-undang kecil di peringkat PBT” jelasnya.

Datuk Latiff Bandi juga mengumumkan sebanyak 120 premis yang menjual vape yang telah mendaftar di negeri ini mengikut daerah dengan menggunakan lesen perniagaan serbaneka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata 5 November lepas, pihaknya telah menyerbu lapan premis vape di negeri ini dan enam daripadanya didapati menjual cecair vape bernikotin.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri melalui Bahagian Farmasi telah merampas 616 cecair berperisa yang mengandungi nikotin bernilai RM23, 015 mengikut Akta Racun 1952.

“Kita juga akan meluaskan 20 kawasan Johor Bebas Asap Rokok kepada Vape dan akan dikenakan tindakan kepada mereka jika didapati menghisap vape di kawasan ini” ujarnya.