Gambaran UMNO Semakin Rapuh Hanya Propaganda Pembangkang Raih Undi – Ismail Roslan

PARIT SULONG, 03 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Ismail Roslan berkata, semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 haruslah menjadikan perhimpunan ini sebagai medan untuk memupuk semangat perpaduan dalam menyusun gerak kerja mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ismail RoslanJelasnya, banyak pihak cuba menggambarkan bahawa UMNO semakin rapuh tetapi itu hanyalah satu propaganda pembangkang untuk melemahkan semangat ahli UMNO.

“Sebenarnya pembangkanglah yang semakin terdesak untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Ini kerana rakyat semakin hilang kepercayaan kepada mereka. Sebab itulah mereka bersungguh-sungguh menyerang UMNO dan Barisan nasional (BN) tanpa henti.

“Ada sahaja perkara yang mereka ingin jadikan isu demi menggambarkan UMNO dan kerajaan itu jahat dan kejam. Mereka lupa bahawa parti mereka sendiri sedang bergolak,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Oleh yang demikian jelasnya, semua perwakilan harus menjadikan Perhimpunan Agung UMNO ini sebagai satu landasan terbaik bagi menyuntik kembali semangat berjuang untuk parti.

“PRU-14 sudah tidak lama lagi. Masih banyak yang perlu kita lakukan terutama di negeri Johor. Ini kerana Johor adalah negeri yang sentiasa menduduki tangga teratas dalam senarai pembangkang untuk mereka dapatkan.

“Mereka terlalu idamkan Johor. Kita tidak boleh lalai. Walaupun Johor adalah kubu kuat UMNO tetapi jika kita lalai tidak mustahil kita akan rebah.

“Tahun hadapan UMNO akan berusia 70 tahun maka seiring dengan usia yang semakin matang itu, kita juga harus membuktikan UMNO adalah parti keramat yang sentiasa berada di hati rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar para pembahas pada perhimpunan kali ini akan membawa isu-isu yang dapat mengukuhkan parti dan jangan tersasar daripada landasan sehingga ‘menghentam’ parti sendiri.

“Kita boleh menegur… kita boleh menyuarakan pendapat tetapi jangan sampai ia melampaui batas dan tidak menggunakan saluran yang betul. Teguran itu biarlah membina… pendapat itu biarlah bernas. Barulah UMNO akan terus menjadi parti yang utuh dan relevan,” ulas Ismail.