Agensi, Pemimpin Masyarakat Daerah Perlu Proaktif Bantu Laksana Dasar Kerajaan

Agensi, Pemimpin Masyarakat Daerah Perlu Proaktif Bantu Laksana Dasar Kerajaan

JOHOR BAHARU, 3 Dis  — Agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat terutamanya di peringkat daerah diminta lebih proaktif membantu melaksanakan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat.

Punnamed-2engerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday berkata meskipun dari segi perancangan dan perbelanjaan dibuat di peringkat kerajaan negeri, pelaksanaan di peringkat daerah masih perlu diperbaiki.

“Pelaksanaan di peringkat daerah mungkin kurang berkesan disebabkan mungkin mereka mengambil mudah, tidak faham dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Perdana Bajet 2016 Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Md Jais berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan segelintir pemimpin masyarakat mengenai beberapa agensi dan jabatan yang tidak responsif dengan aduan masyarakat setempat pada majlis hari ini.

“Ada beberapa agensi dan jabatan yang ditegur hari ini antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia mengenai keselamatan.

Md Jais, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota itu berkata beliau sendiri akan bawa isu pelaksanaan di peringkat bawah ini pada Mesyuarat Exco supaya dapat terus ditambah baik demi rakyat.

Katanya, pelaksanaan dasar kerajaan kepada golongan sasaran akan lebih mudah tercapai sekiranya dibantu pemimpin masyarakat dan politik terutamanya dalam menyampaikan maklumat seperti soal bantuan dan pelajaran.

Beliau berkata majlis seumpama ini diharapkan dapat memberi penerangan kepada mereka yang hadir, seterusnya dapat membantu kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat berkaitan Bajet Negeri Johor 2016 secara jelas kepada rakyat.

Selain itu, Md Jais berkata kesemua jabatan dan agensi yang terlibat dengan pelaksanaan Bajet Negeri 2016 agar terus dapat melaksanakan segala peracangan demi rakyat Johor.

Majlis Penerangan Perdana Bajet 2016 yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih 2,000 peserta, terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan ketua masyarakat.