Rumah mampu Milik Dan Program Usahawan Belia Johor Tepat Pada Masanya – Norulhuda

Rumah mampu Milik Dan Program Usahawan Belia Johor Tepat Pada Masanya – Norulhuda

JOHOR BAHRU, 30 Nov – Penekanan kerajaan negeri dalam semua aspek khususnya soal sasaran rumah mampu milik dan program usahawan belia menerusi Bajet Johor 2016 bukan sahaja langkah yang amat bertepatan dengan senario semasa malah tentunya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Johor.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norulhuda Marsidin berkata program tersebut serta penekanan itu memberi peluang serta ruang yang cukup luas untuk rakyat Johor mendapatkan rumah serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan belia.

20151129163440Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Labis seterusnya menambah itulah bukti dan itulah realiti bahawa kerajaan yang ada hari ini yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) bukanlah kerajaan yang penuh retorik semata-mata.

“Sebaliknya dibuktikan menerusi apa yang terkandung di dalam bajet berkenaan. Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan kami orang muda cukup tersentuh dengan pembentangan bajet tersebut.

“Malah dengan beberapa penekanan lain kepada kumpulan belia dan sebagainya membuktikan kerajaan negeri peka dan amat dekat dengan hati orang muda. Inilah yang kita mahu dan inilah yang sewajarnya dan sebagai pemimpin muda itulah yang kita harapkan,“ katanya.

Beliau seterusnya berpandangan Bajet Johor 2016 lengkap dnegan mengambil kira setiap warga bangsa Johor dan sokongan padu haruslah diterjemahkan kepada kerajaan negeri agar apa yang terkandung di dalam bajet berkenaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Pelbagai inisiatif dan pelbagai perancangan yang terkandung di dalam bajet itu saya percaya dan penuh yakin bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri malah memastikan rakyat di setiap daerah bersedia dan merasai kemajuan pembangunan negeri,“ katanya.