Puteri Ledang Fokus Penambahan Pengundi Muda Untuk Menang PRU-14

LEDANG, 30 Nov – Ketua Puteri UMNO Ledang, Fahariyah Md Nordin berkata, Puteri Ledang memfokuskan dua perkara utama bagi mengatur gerak kerja untuk membantu parti memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

20151129161353Jelasnya, dua perkara tersebut adalah penambahan pengundi muda dan juga keahlian Puteri selain melakukan program-program yang dekat di jiwa rakyat.

“Kita mahu pastikan UMNO terus menjadi peneraju di Ledang dan kini fokus kita adalah memenangi dengan majoriti yang lebih besar. Oleh itu, segala strategi perlu disusun dengan baik bagi memenangi hati anak muda,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Mengakui isu semasa turut memberi kesan dalam gerak kerja Puteri Ledang namun ia dapat diatasi dengan baik kerana pihak UMNO Malaysia dan juga di peringkat negeri sering mengadakan program bagi menjawab segala isu berbangkit.

“Memanglah wanita muda terutama di kawasan Ledang lebih memfokuskan kepada gaya hidup mereka tetapi isu semasa turut memberi kesan kepada psikologi mereka.

“Mereka tertanya-tanya jawapan contohnya berkaitan isu 1MDB dan RM2.6 billion. Namun itu semua tidak menjadi duri dalam perjuangan Puteri Ledang. Kita mempunyai strategi memberi penerangan dan ia turut dibantu oleh UMNO Malaysia dan UMNO negeri.

“Apa yang penting gerak kerja harus dilipat gandakan agar UMNO terus relevan di hati rakyat khususnya di Johor,” ujarnya lagi.

Pada PRU-13 yang lalu, Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Datuk Ir Hamim Samuri telah menewaskan wakil Pkr iaitu Hassan Abdul Karim di kerusi Parlimen Ledang dengan majoriti 1,967.