Laluan Kenderaan Berat Di Tambak Johor Ditukar Berperingkat Ke Linkedua

NUSAJAYA, 30 Nov  — Laluan kenderaan berat akan ditukar secara berperingkat dari Tambak Johor ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mulai akhir Mac tahun depan, dalam usaha mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

20151202171611Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri kini sedang memperincikan kajian berhubung pelaksanaan pertukaran laluan tersebut yang dijangka selesai awal tahun depan.

“Inisiatif pertukaran laluan dari Tambak Johor ke Linkedua dilakukan selepas kerajaan Johor menyedari masalah kesesakan serius di Tambak Johor terutama bagi kenderaan berat. Pelaksanaan laluan kenderaan berat di Linkedua dijangka dicapai sepenuhnya pada 2017,” katanya.

Hasni menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Senai) dan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) yang membangkitkan masalah kesesakan di Tambak Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata kajian dilakukan merangkumi penelitian terhadap jumlah kaunter untuk kenderaan berat di Linkedua, bilangan kenderaan serta kemungkinan kesesakan panjang di laluan berkenaan.

Katanya bagi melaksanakan pertukaran laluan itu, kerajaan negeri juga sedang mengambil kira cadangan mewujudkan sebuah tapak transit khas atau tempat letak kenderaan bagi memudahkan kenderaan berat dari luar Johor menunggu sebelum masuk ke Singapura.

Sementara itu, ketika menggulung ucapan perbahasan pada persidangan itu, Hasni berkata kerja pemindahan air dari Sungai Papan ke Sungai Lebam, Kota Tinggi sudah bermula 6 petang semalam, bagi memastikan paras air di Empangan Sungai Lebam kembali pada tahap normal.

“Ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah air sekali gus prihatin terhadap rakyat,” katanya.

Bulan lepas, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi membiayai projek pemindahan bekalan air mentah ke Empangan Sungai Lebam dan Empangan Sungai Layang, Masai, yang terjejas akibat penurunan paras air.

Mohamed Khaled berkata pembiayaan peruntukan itu disalurkan menerusi Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd dan ia dijangka mampu menambah bekalan air mentah sebanyak 30 juta gelen sehari di kedua-dua empangan tersebut.