Johor Wujud Program ‘i-COL@Johor’ Untuk Tangani Kos Hidup Rakyat

NUSAJAYA, 30 Nov  — Kerajaan negeri Johor mewujudkan program Inisiatif Kos Sara Hidup Johor ‘i-COL@Johor’ bagi memperkasa usaha menangani kos sara hidup dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Unknown-1Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata inisiatif itu merangkumi beberapa program termasuk Festival Trak Johor yang diadakan baru-baru ini serta Selera Rakyat Johor yang sedang dalam proses kajian akhir untuk dilaksanakan.

“Festival Trak Johor yang diadakan di Pasir Gudang adalah berkonsep perniagaan jualan terus dari kilang atau pengeluar, pasar raya besar dan perniagaan pasar minggu.

“Jualan terus dari kilang membolehkan barangan dijual pada harga yang lebih rendah kerana pengurangan orang tengah,” katanya semasa menggulung perbahasan Bajet Johor 2016 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata festival itu dijangka dianjurkan sekali lagi tahun depan berikutan sambutan menggalakkan dengan penyertaan 60 trak barangan yang menawarkan potongan harga sehingga 40 peratus.

Tee berkata pihaknya juga akan menganjurkan ‘Kembara Pengguna Johor’ tahun depan bertujuan mendedahkan isu dan hak pengguna kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata isu serta hak pengguna antara lain merangkumi kesihatan dan gaya hidup; keselamatan makanan dan produk; aktiviti gores dan menang; dan tuntutan tribunal.

Katanya program kerjasama strategik antara badan bukan kerajaan dengan pihak industri itu diharap dapat memberi pemahaman kepada semua pengguna di Johor.

Mengenai penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Tee berkata 205,271 pemeriksaan dilakukan ke atas premis perniagaan di negeri itu sehingga Jumaat lepas untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

“Seramai 238 pegawai pemantau dan penguat kuasa ditugas melakukan pemeriksaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 248 kes disabitkan kesalahan dengan nilai rampasan barangan berjumlah RM54,138 manakala kompaun sebanyak RM32,220,” katanya.