Bajet Johor 2016 Tidak Cedok Bajet Selangor – MB Johor

Bajet Johor 2016 Tidak Cedok Bajet Selangor – MB Johor

NUSAJAYA, 30 Nov — Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan Bajet Johor 2016 yang dibentangkan 19 Nov lepas tidak mencedok idea bajet Selangor atau mana-mana negeri lain seperti yang didakwa sesetengah pihak.

20151202171611Mohamed Khaled berkata Johor tidak pernah memandang Selangor sebagai perbandingan dan teladan yang baik untuk Johor malah Johor berada dalam ‘liga’ berlainan serta tersendiri yang akan menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia.

“Agak melucukan apabila selepas Bajet Johor 2016 dibentang, ada pihak tampil mendakwa bahawa kita (Johor) menyedut dan mencedok idea daripada Bajet Selangor 2016.

“Takkanlah untuk menjadi ekonomi paling maju di Malaysia, kita ingin mencontohi Selangor sedangkan Singapura hanya 20 minit dari Johor Baharu,” katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata menyemak kembali Bajet Johor 2015 dan 2014, Johor sudah mula menggunakan pendekatan pembangunan dan pertumbuhan inklusif sebelum mana-mana negeri lain menggunakannya.

Beliau berkata Johor mempunyai agenda terancang dan tidak pernah merangka Bajet Johor secara terpisah-pisah dan bercanggah dari perancangan sebelumnya.

Mohamed Khaled berkata hanya mereka yang tidak mahu mengakui pencapaian serta merit akan menggunakan alasan dangkal untuk menidakkan sesuatu yang baik.

Menurutnya perkara yang sudah dimulakan sebelum ini, kini diteruskan dengan beberapa pemantapan seperti penambahan Rumah Mampu Milik Johor, program merancakkan keusahawanan serta penambahbaikan bantuan menangani kos sara hidup golongan tertentu seperti nelayan dan anak yatim.

Terdapat juga idea baharu yang belum pernah dilakukan di negeri lain seperti penubuhan koperasi Orang Asli, Tabung Kemahiran Rakyat Johor serta Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop), katanya.

“Kesemua ini adalah idea baharu yang terhasil daripada kajian mendalam dan pemikiran yang serius. Tidak ada cedokan serta penyedutan daripada mana-mana bajet negeri lain apatah lagi dari Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.