Johor Peruntuk Dana RM12 Juta Bangun Rantaian Nilai Kedai Harga Patut Muafakat

JOHOR BAHARU, 28 Nov — Johor memperuntukkan dana berjumlah RM12 juta bagi membangunkan keseluruhan rantaian nilai Kedai Harga Patut Muafakat dalam usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

12289496_10153483601143173_1944893753940771785_nMenteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta merupakan suntikan khas kerajaan negeri manakala bakinya daripada dana sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Dana itu akan digunakan untuk membangunkan seluruh rantaian nilai Kedai Harga Patut Muafakat.

“Ini termasuk gudang di Kulai yang bakal kita lancarkan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan cawangan pertama kedai tersebut di Kebayan Jalan Nenas, Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Kedai Harga Patut Muafakat yang diterajui oleh Koperasi Iskandar Malaysia Bhd (imCoop) itu menawarkan barangan keperluan pada harga rendah dan berpatutan di samping diskaun tiga peratus kepada ahli semua koperasi yang berdaftar di bawah imCoop.

Selain Kebayan Jalan Nenas, sebanyak 19 lagi cawangan rantaian kedai tersebut akan dibuka secara serentak oleh imCoop dan 150 lagi dijangka dibuka menjelang 2017.

Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata usahawan yang berminat membuka kedai harga patut itu hanya perlu menyediakan modal minimum RM30,000.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar berkata konsep koperasi masih relevan meskipun dalam zaman negara menjalani pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Kerajaan negeri yakin konsep koperasi merupakan platform yang terbaik bagi meningkatkan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 1,300 peluang pekerjaan bakal wujud hasil daripada peruncitan yang diusahakan oleh imCoop.

Di bawah imCoop, kini terdapat 60 buah koperasi anggota yang mewakili 40,000 orang anggota koperasi.

Sementara itu, seramai 6,500 fakir miskin dan golongan asnaf bakal mendapat keahlian secara percuma di bawah Koperasi Muafakat Johor.

“Kerajaan negeri akan membayar kad keahlian mereka untuk membantu menangani kos sara hidup yang tinggi.

“Sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi program ini yang akan dimulakan tahun hadapan,” kata Mohamed Khaled.