LPP Johor Wujud 26 Pusat Pengumpulan Elak Orang Tengah – Ismail

NUSAJAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor mewujudkan 26 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian bagi membolehkan peladang memasarkan terus produk mereka tanpa pembabitan orang tengah.

ismail-mohammedPengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed, berkata itu adalah beberapa langkah diambil LPP sebagai usaha memastikan program ‘jihad memerangi orang tengah’ berjaya mencapai matlamat.

“Inisiatif pusat pengumpulan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peladang tetapi juga kepada masyarakat setempat yang dapat membeli produk dengan lebih murah,” katanya menjawab soalan Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, baru-baru ini.

Ismail berkata, anggaran jualan yang diperoleh di setiap pusat pengumpulan tersebut adalah kira-kira RM14,500 hingga RM56,000 sebulan bergantung kepada produk yang dijual.