Dewan: Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Baharu Dijangka Telan Kos RM7.13 Bilion

NUSAJAYA, 26 Nov  — Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Baharu, yang pembinaannya bakal bermula tahun hadapan, dijangka menelan kos kira-kira RM7.13 bilion, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ir HasniBeliau berkata landasan berkembar yang akan dibina sepanjang 197 kilometer itu, mempunyai kapasiti halaju reka bentuk pada 160 km/jam manakala halaju operasi sekitar 140 km/j.

“Di bawah Bajet 2016, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi memulakan pembinaan landasan berkembar itu mulai tahun hadapan. Kini ia di peringkat perolehan dan akan mengambil masa selama empat tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hasni berkata landasan itu akan mempunyai 11 stesen dengan tiga kategori stesen iaitu stesen utama, stesen sekunder dan stesen operasi, yang lebih menumpukan kepada operasi barang-barang.

Stesen utama terdiri dari Segamat, Kluang dan Kempas Baru manakala stesen sekunder meliputi Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Kulaijaya, sementara stesen operasi adalah di Genuang dan Mengkibol.

Hasni berkata projek itu yang dijangka siap tahun 2021, bakal menyaksikan setiap stesen utama menelan kos sekitar RM35 juta, manakala kos stesen sekunder kira-kira RM20 juta dan stesen operasi/barang RM15 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai perkembangan terbaharu dan rancangan kerajaan berkaitan pelaksanaan projek landasan berkembar itu dan juga projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura termasuk kos pembinaan.

Antara ADUN yang bertanya mengenai projek berkenaan termasuk Chen Kah Eng (DAP-Stulang) dan Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai).

Hasni berkata pembinaan landasan berkembar itu turut melibatkan sistem elektrifikasi 25kV, sistem persemboyanan dan komunikasi serta kawalan terus dari pusat kawalan dan pengurusan di KL Sentral dan Gemas.

Dengan adanya landasan berkembar itu, katanya, bakal menyaksikan 22 perkhidmatan kereta api sehari merangkumi perkhidmatan antara bandar, perkhidmatan ulang alik dan juga perkhidmatan elektrik tren (ETS).

“Saya percaya pengambilalihan dan perpindahan penduduk di kawasan setinggan telah selesai, saya percaya projek ini tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk dijalankan,” katanya.

Ketika ini Kementerian Pengangkutan sedang mengadakan pameran bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai projek itu di 10 lokasi bermula 27 Oktober sehingga 26 Januari, setiap hari bekerja.

Antara lokasi pameran termasuklah ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Selain itu, orang ramai boleh turut melayari laman web kementerian di www.mot.gov.my atau menghubungi talian telefon 03-80008000 bagi mendapatkan maklumat lanjut.