Dewan: Kerajaan Johor, Jawhar Laksana Tiga Projek Bagi Pembangunan Tanah Wakaf Terbiar

NUSAJAYA, 25 Nov — Kerajaan Negeri Johor bersama-sama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) akan melaksanakan tiga projek pembinaan di negeri ini bagi pembangunan tanah wakaf terbiar.

imagePengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim berkata projek itu merangkumi pembinaan pangsapuri di Taman Perling di Johor Baharu, ruang niaga dan pusat dialisis di Kota Tinggi dan kompleks fakir miskin dan ruang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Mersing.

Abd Mutalip menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) mengenai usaha membangunkan tanah wakaf terbiar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

“Pembinaan pangsapuri lima tingkat berkenaan akan memberikan kemudahan kepada umat Islam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan pada kadar sewa yang rendah.

“Ruang niaga dan pusat dialisis pula membantu meringankan golongan fakir miskin yang tidak mampu menanggung kos perubatan yang tinggi manakala kompleks fakir miskin dan ruang IKS dapat memberi peluang masyarakat Islam memahirkan diri dalam industri ringan bagi menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Abd Mutalip berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi kerjasama Perbadanan Islam Johor, Yayasan Wakaf Malaysia, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Johor akan turut melaksanakan beberapa projek bagi pembangunan tanah wakaf.

Beliau berkata ia merangkumi projek perumahan, francais Wakaf Mart yang menyediakan ruang niaga, pembinaan sekolah agama serta masjid.

“Perancangan projek di bawah MAINJ sendiri pada masa ini pula adalah melibatkan pembinaan Kompleks Darul Ukhwah di Taman Mutiara Rini dan rumah orang tua di Taman Perling,” katanya.