Dewan: Kerajaan Johor Galak Program Pembangunan Bola Sepak Peringkat Akar Umbi

NUSAJAYA, 25 Nov — Kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) sentiasa memberi galakan dan bantuan dalam program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, persidangan Dewan Undangan Negeri Johor diberitahu hari ini.

unnamed-3Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata untuk menyokong usaha berkenaan, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta sebagai suntikan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menerusi pembentangan Bajet Johor 2016, Khamis lepas.

“PBNJ telah mengorak langkah menjalankan program pembangunan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dalam melahirkan pemain yang bakal mewakili negeri ke peringkat lebih tinggi.

“Daripada program ini, maka, wujudnya pelbagai perkembangan baharu dalam pembangunan bola sepak negeri Johor terutama bantuan teknikal dan taktikal yang diilham oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut melibatkan kerjasama daripada pasukan bola sepak Jerman, Borussia Dortmund FC,” katanya.

Zulkurnain berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) dan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang ingin tahu mengenai tindakan jangka panjang dan pelan komprehensif kerajaan Johor serta PBNJ bagi memastikan mutu bola sepak Johor terus cemerlang.

Beliau berkata sehingga ini, MSNJ dengan kerjasama PBNJ telah menganjurkan pelbagai kejohanan antaranya Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Johor, Liga Bola Sepak Piala TMJ dan Kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Johor yang melibatkan penyertaan seluruh daerah di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri dalam masa yang sama juga tidak melupakan perancangan pembangunan infrastruktur kerana ia merupakan satu daripada faktor dalam pemangkin kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim.

Antara pembangunan infrastruktur yang sedang dilakukan ketika ini termasuk pembangunan pusat latihan di kawasan Dataran Bandaraya Johor Baharu yang meliputi kawasan padang dan pusat kecergasan yang lengkap, katanya.