Dewan: 4,536 Penerima Bantuan Ditamatkan Pemberian Sehingga September

NUSAJAYA, 26 Nov– Sebanyak 4,536 penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditamatkan pemberian bantuan mereka sehingga September ini berdasarkan beberapa faktor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Asiah Md Ariff berkata keputusan itu diambil selepas kajian semula yang dijalankan jabatan itu.

yb-asiah-224x300Beliau berkata kajian semula tersebut diadakan bagi mengenal pasti keadaan sosioekonomi semasa penerima dan turut melihat sama ada bantuan kepada penerima layak dilanjutkan atau ditamatkan berdasarkan itu.

“Antara faktor bantuan ditamatkan termasuk penerima meninggal dunia, berpindah ke luar daerah, mampu berdikari serta pendapatan isi rumah semasa telah melebihi had kelayakan,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini, Khamisi.

Selain itu, penerima yang ditamatkan bantuan turut meliputi mereka yang tidak lagi bekerja bagi kes penerima Elaun Pekerja Cacat, kes yang dijaga telah meninggal dunia iaitu merujuk kepada skim Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU)/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) serta penerima yang ditukar ke skim bantuan yang lain.

Antara jenis bantuan ditamatkan bagi penerima turut merangkumi Bantuan Kanak-kanak, Bantuan Anak Pelihara, Bantuan Orang Tua, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Pesakit Terlantar, Bantuan OKU Tidak bekerja, Bantuan Am dan Bantuan Geran Pelancaran.

Asiah berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mohammad Taslim (PAS-Maharani) berkenaan jumlah penerima bantuan yang ditamatkan bantuan berikutan kajian semula bantuan kewangan kepada rakyat setiap tahun.