Sektor Pertanian Perlu Diberi Penekanan – BNBBC Johor

NUSAJAYA, 23 Nov – Kerajaan negeri perlu memberi penekanan berterusan terhadap sektor pertanian terutama dalam soal keselamatan makanan bagi memastikan rantaian nilainya berkembang dari semasa ke semasa.

Samsol Bari -DUNPengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, penekanan itu antara lain ialah menjalankan kajian untuk mengenalpasti sejauh mana kerajaan negeri telah mengikuti dan memenuhi Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020.

Katanya, pada masa ini, Johor adalah antara pengeluar terbesar makanan dalam negara khususnya ayam, telur dan sayur-sayuran.

Namun, itu tidak mencukupi dan perlu diberi nafas baharu, kata Samsol kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

“Kita berharap kerajaan melihat perkara ini dan memastikan penggembangan kerja turut berlaku dalam kalangan Jabatan Pertanian kerana secara realitinya,
teknologi adalah perlu, khusus untuk mekanikal, benih baja dan sebagainya,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang itu juga meminta kerajaan negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha dan pemilik tanah yang didapati menyalahgunakan syarat tanah untuk tanaman mereka.

“Sebagai contoh, ada orang patut menanam nenas tetapi yang ditanam kelapa sawit dan mereka membayar kadar cukai yang berbeza.

“Ini yang kita kena tengok kerana mengikut data, bilangan tanah bagi sektor pertanian adalah luas tetapi hasilnya tidak setimpal dengan keluasan itu,” tegasnya.