Jabatan Perhutanan, FRIM Buat Kajian Saintifik 1,000 Spesies Tumbuhan Di Gunung Ledang

TANGKAK, 22 Nov– Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan membuat kajian saintifik ke atas lebih 1,000 spesies tumbuhan di Gunung Ledang akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata hasil kajian itu akan diketengahkan dan didokumentasi serta dikomersialkan untuk tujuan perubatan, produk kecantikan dan pelbagai kegunaan lain.

image“Ini adalah kajian secara saintifik untuk mengenal pasti nutrisi, potensi, keanekaragaman, kelebihan, keistimewaan dan kegunaan spesies tumbuhan yang dibuat kajian itu.

“Kajian ini melibatkan saintis dan kepakaran daripada JPSM dan FRIM yang bermula awal bulan ini selama enam bulan untuk meneroka Gunung Ledang yang kaya dengan khazanah alam dan masih belum diterokai dan dieksploitasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Kampung Orang Asli Tanah Gembur, di sini Ahad.

Turut hadir Pegawai Jabatan Kebajikan Orang Asli Muar/Ledang, Suzilla Baki, Pegawai Pendidikan Daerah Ledang, Md Rashidi Md Dom, Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM, Profesor Madya Dr Ahmad Esa dan Tok Batin Kampung Tanah Gembur, Jengkeng Jani.

Hamim berkata, terdapat banyak tumbuhan khususnya herba dan akar kayu di kawasan hutan Gunung Ledang yang tinggi nutrisi semula jadi serta khasiatnya tetapi tidak dilakukan kajian khas mengenainya.

Beliau berkata penduduk di Gunung Ledang termasuk masyarakat Orang Asli sebelum ini telah menggunakan tumbuhan itu sebagai sumber perubatan tradisional kerana masyarakat itu tahu nilai perubatannya amat tinggi dan kegunaannya juga adalah pelbagai.

Ketika berucap, Hamim yang juga anggota Parlimen Ledang meminta masyarakat Orang Asli agar membantu proses kajian itu kerana mereka mengetahui tumbuhan yang berkhasiat dan memberikan manfaat.

Katanya masyarakat itu yang lebih dekat dengan alam harus memecahkan tradisi dengan tidak hanya mengetahui kegunaan tumbuhan secara tradisional sebaliknya membongkar kehebatannya secara saintifik.

“Ini juga boleh dilakukan dengan pendidikan sehingga anak-anak Orang Asli dapat masuk ke universiti awam atau swasta sehingga mereka mengambil jurusan khusus untuk mengkaji khasiat sebenar tumbuhan alam ini,” katanya.