Dewan: Medini Mall Akan Ditransformasi Untuk Tarik Lebih Ramai Pengunjung

NUSAJAYA, 23 Nov  — Pusat beli-belah Medini Mall yang terletak berhampiran Taman Tema Legoland di sini akan mengalami transformasi berkonsepkan kesenian dan gabungan perniagaan secara berpusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata transformasi itu perlu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat perniagaan itu.

mall-of-medini“Pusat itu sudah mencatatkan kekurangan pengunjung hingga memaksa beberapa premis perniagaan terutamanya yang berorientasikan makanan dan minuman ditutup,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram) mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kerugian yang dihadapi para peniaga di pusat perniagaan itu.

Tee berkata pihak pengurusan Medini Mall sedang melaksanakan strategi pemasaran dengan menarik premis perniagaan baharu yang berkonsepkan kesenian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri 2014-2023.

“Melalui strategi itu, premis berkenaan dijangka mempunyai dua kawasan khusus untuk aktiviti pameran kesenian iaitu Blackbox dan Whitebox,” katanya.

Beliau juga meminta pihak pengurusan Medini Mall agar menyesuaikan strategi pemasaran perniagaan mereka mengikut keadaan semasa bagi memastikan penyewa permis mempunyai nisbah keuntungan yang lumayan.

Ia juga bagi memastikan perniagaan yang dijalankan tidak bertindih dengan jenis perniagaan yang telah beroperasi di Taman Tema Legoland, katanya.