Jangan Terpedaya Taktik Minta Bayaran

LABIS 20 Nov. – Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan tak­tik pihak tertentu yang mendakwa sebagai ‘anggota polis’ dengan meminta bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 jika tidak mahu akaun bank mereka dibekukan.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong yang mendedahkan kegiatan itu memaklumkan, beliau menerima aduan daripada beberapa penduduk di daerah ini menerima panggilan daripada individu yang mengakui sebagai anggota polis meminta bayaran ber­kenaan jika tidak mahu akaun bank mereka yang kononnya disiasat oleh Bank Negara dan pihak polis dibekukan.

imageJusteru, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan tersebut supaya tidak membuat sebarang bayaran dan segera me­laporkan perkara itu kepada pihak polis serta menyemak nombor te­lefon dengan laman web rasmi bank tersebut.

“Apa yang menghairankan me­reka mengetahui maklumat pen­ting mangsa yang dihubungi se­perti nama penuh, nombor kad pengenalan serta maklumat lain mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan beg sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Labis, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pi­hak polis tidak akan me­minta sebarang ba­yaran terutamanya ba­gi menyelesaikan seba­rang kes yang masih dalam siasatan, sekali gus mem­buktikan pang­gi­lan itu adalah sa­tu peni­puan.

“Saya harap orang ramai lebih waspada serta berhati-hati untuk memberi maklumat peribadi kepada orang lain dan mengetahui siapa yang akan mengendalikan maklumat peribadi mereka kerana boleh disalah gunakan.

“Apa yang kita bimbangkan, jika mereka berjaya memperdayakan penduduk di sini, perkara tersebut tidak mustahil akan dilakukan di kawasan lain dan lebih ramai yang menjadi mangsa,” katanya. – Utusan