Sumbangan Bait Al Amanah Diiktiraf Kerajaan Negeri Johor- Jais

JOHOR BAHRU, 19 NOVEMBER – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, YB Tuan Haji Md Jais Bin Haji Sarday merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor yang mengiktiraf peranan institut pemikir UMNO Johor, Bait Al-Amanah dalam usaha membantu Kerajaan Negeri melaksanakan pentadbiran yang inklusif, progresif dan pro-rakyat.

20151119010659Semasa membentangkan cadangan Bajet 2016 bagi Negeri Johor di Dewan Undangan Negeri, Kota Iskandar pagi ini, YAB Menteri Besar mengumumkan yang satu Pelan Rejuvenasi Desa Johor akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama secara percuma oleh Bait Al Amanah.

Usahasama tersebut mensasarkan untuk memeta satu pelan mencergaskan Desa Johor sebagai salah satu aset ekonomi sekaligus meningkatkan kesejahteraan kehidupan di luar bandar Johor,” ujarnya dalam satu kenyetaan kepada media hari ini.

Tambahnya, perkara ini bertepatan dengan tema utama Bajet 2016 yang meletakkan pertumbuhan yang inklusif, lestari dan sejahtera sebagai fokus utama pada tahun hadapan.

“Saya berharap pengiktirafan ini akan memberi peluang kepada UMNO dan institut pemikirnya untuk menyumbang dengan lebih berkesan dan bermakna kepada pembangunan UMNO dan Bangsa Johor,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.