Johor Sasar Bina 60,000 Unit RMMJ Menjelang 2019

NUSAJAYA, 19 Nov – Kerajaan Johor menyasar membina 60,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2019, pertambahan 14,000 unit berbanding yang dirancang sebelum ini.

bajet johorMenteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta bagi pengambilalihan tanah di kawasan bandar negeri ini untuk membangunkan kediaman RMMJ menjelang tahun hadapan.

“Pembinaan RMMJ adalah selari dengan dasar kerajaan negeri yang mahu menggalakkan masyarakat Melayu menetap di kawasan bandar.

“Perumahan terus menjadi agenda keutamaan kerajaan Johor kerana kemajuan dan pemodenan ekonomi di negeri ini tidak akan membawa sebarang makna sekiranya masih sukar bagi rakyat mendapatkan kediaman yang mampu milik dan selesa,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2016 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata permohonan RMMJ akan dilaksanakan secara dalam talian www.erumah.johor.gov.my sepenuhnya bermula tahun hadapan bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pengagihan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperkenalkan Skim Pembiayaan RMMJ secara usahasama dengan AmBank Islamic Berhad dengan penyediaan dana RM300 juta bagi memastikan lebih ramai golongan sasar memperolehi pinjaman perumahan.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan tiga Taman Perbadanan Islam di Pasir Gudang, Muar dan Stulang Baru membabitkan pembinaan rumah sebanyak 1,330 unit.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membangunkan 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Bandar Tenggara, Kota Tinggi dengan kos RM65 juta.

“Bagi memastikan golongan asnaf terbela dan mendapat kemudahan asas, Skim Bantuan Zakat bagi perumahan golongan itu akan terus dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM27 juta.

“Ia akan melibatkan pembinaan 250 unit rumah baharu, membaik pulih 100 rumah sedia ada serta Program Rumah Transit secara sewa beli dan pembinaan 72 unit baharu Taman Perumahan PPR Bukit Kepong di Muar, Gemerih di Segamat dan Punggai di Kota Tinggi,” katanya.