KPKT Kaji Semula Sistem Perparitan Berikutan Banjir Kilat Di Negara Ini

JOHOR BAHARU, 18 Nov — Perubahan iklim yang menyebabkan banjir kilat di beberapa negeri baru-baru ini memungkinkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji semula keseluruhan pembangunan termasuk sistem perparitan.

12249642_1164820753531441_966936486680426459_nMenterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ini kerana pihaknya mengaku perubahan itu membawa kesan kepada negara, lantas bersedia untuk melakukan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Kalau dulu sistem perparitan selebar tiga hingga enam meter sudah cukup untuk menampung takungan air hujan.

“Namun kini apabila hujan turun secara berterusan dan ditambah pula dengan air pasang, sistem perparitan menjadi tertekan dan itu yang mengakibatkan banjir,” kata beliau sebagai mengulas isu perparitan yang dikatakan sudah ketinggalan zaman.

Beliau sebelum itu diberi taklimat oleh Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) mengenai banjir kilat yang berlaku di pusat bandaraya baru-baru ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil kira cuaca semasa dan kadar curahan air hujan sebelum meluluskan sebarang projek berkaitan sistem perparitan dan saliran.

Ini kerana, menurutnya, reka bentuk projek perparitan yang diluluskan PBT sekarang tidak mampu menampung takungan air yang banyak selain hanya sesuai untuk zaman 1970-an dan 1980-an.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) untuk segera memasang enam pam air sementara di kawasan Sungai Segget di sini bagi mengelakkan berlakunya lagi banjir kilat.

“Saya minta mereka membeli pam itu dan mempercepatkan perolehannya pada selewat-lewat minggu depan dan berharap banjir tidak akan berulang sejurus pam dipasang,” katanya.