#BajetJohor2016 Diharap Beri Keutamaan Pada Aspek Ekonomi Orang Muda – Rohaizah

PAGOH, 18 Nov – Ketua Puteri UMNO Johor Rohaizah Ahmad, berharap dalam Budget 2016 Kerajaan Negeri Johor yang bakal dibentangkan nanti dapat memberi keutamaan dalam beberapa aspek seperti penambahbaikan setiap bantuan dan perlaksanaan kewangan pinjaman mahupun lain-lain kemudahan bagi memastikan anak muda khususnya golongan wanita muda dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka dalam mengharungi kehidupan serba mencabar.

“Kami, Puteri UMNO Johor memahami situasi wanita muda hari ini dari segi kesusahan mencari pekerjaan dan terpaksa meninggalkan anak dibawah penjagaan orang lain. Dan ini memerlukan tambahan kos jagaan anak dan juga soal keselamatan mereka,” ujarnya mengulas harapan Puteri UMNO Johor pada Bajet Johor 2016 yang akan dibentangkan esok di DUN Johor.

20151118074912Sehubungan dengan itu, beliau  berharap agar wanita muda diberikan peruntukan khas wanita muda yang ingin menceburi perniagaan dan memberi bimbingan kepada golongan usahawan wanita juga menyediakan subsidi bersesuaian berkaitan perniagaan mereka.

“Saya juga bersama rakan-rakan ketua puteri bahagian telahpun membawa usul ini sebelumnya dan membuat perbincangan khusus dan disebabkan itu kami melaksanakan GMJ Biz bagi tujuan memberi laluan kepada usaha membantu wanita atau ibu muda. Dan kami yakin bahawa YAB Menteri Besar mendengar keluhan anak muda diluar sana.

“Bahkan kami juga berharap bantuan berbentuk subsidi diperluaskan bagi mereka yang ingin membina dan menjalankan perniagaan online mahupun peluang perniagaan industri kecil sederhana dan pembuatan,” ujarnya yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh.

Tambahnya, dari sudut anak muda yang baru keluar universiti diberikan pilihan antara bekerja makan gaji dengan memperluaskan nilai sasaran mengikut bidang namun perlu melepasi syarat khas praktikal bersama kerajaan negeri mahupun GLC dan satu skim graduan usahawan muda di perluaskan bagi mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan seperti bantuan secara kelompok dan komuniti.

Dari sudut membantu keperluan asas orang muda pula kami berharap agar Bajet kali ini memfokuskan tentang proses membeli rumah mampu milik lebih mudah dan dapat disegerakan.

“Kami percaya inisiatif daripada YAB Menteri Besar Johor pastinya mempunyai idea dan perspektif yang lebih luas memandangkan Kerajaan Negeri Johor dilihat dan terbukti kemampuannya dari sudut peningkatan ekonomi yang kukuh dan mempunyai kelebihan tersendiri,” ujarnya lagi.