Usaha Pembangkang Lihat Bajet 2016 Gagal, Tidak Berjaya – Ahmad Maslan

SEREMBAN, 17 Nov — Usaha pihak pembangkang mahu melihat Bajet 2016 yang dibentang di Dewan Rakyat malam tadi gagal, tidak berhasil kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya termasuk daripada pihak mereka sendiri.

Maslan-Bajet-685x320Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan ada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyokong usaha itu supaya keputusan berpihak kepada pihak pembangkang.

Namun, katanya, perkara itu ternyata tidak benar kerana 128 anggota Parlimen menyokong rang undang-undang itu manakala hanya 74 menolak.

“Usaha menjatuhkan kerajaan menerusi pintu belakang tidak pernah berjaya dalam negara.

“Kita sekali lagi ingin memaklumkan kepada pembangkang yang ada cita-cita seumpama ini sama ada menerusi undi tidak percaya atau cubaan menggagalkan Bajet 2016, supaya menghentikan persepsi ketidakstabilan politik negara seperti itu,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar ‘Grow With Us’ anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong.

Ahmad berkata pihak pembangkang yang mahukan pembaharuan sistem politik negara perlu melakukannya menerusi kaedah yang betul iaitu pilihan raya umum (PRU).

“Kaedah itu (PRU) lebih bermaruah dan boleh digunakan di negara ini. Saya bersyukur kerana pihak pembangkang tidak berjaya melakukan seperti apa yang dihebohkan sebelum ini,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata dalam konteks pelaburan, kestabilan politik negara ketika ini amat penting kerana pelabur memilih negara ini bukan berdasarkan prasarana yang baik serta insentif yang ditawarkan sahaja.

“Jadi pihak pembangkang perlu hentikan segera persepsi ketidakstabilan ekonomi negara kerana faktor itu penting untuk terus menarik pelabur ke negara ini,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di peringkat dasar tanpa sebarang masalah besar walaupun sebelum ini ia dijangka berdepan laluan sukar.

Rang Undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 128 anggota Parlimen bersetuju ia ditetapkan untuk bacaan kali kedua berbanding 74 menolak.