#BajetJohor2016 Harus Diberi Penekanan Selesai Masalah Rakyat

JOHOR BAHRU, 17 Nov – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim berkata, Bajet Johor 2016 yang bakal dibentangkan pada khamis ini haruslah menekankan aspek bagaimana dapat menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya menyelesaikan masalah kerajaan.

20151117171916Jelasnya, semakin hari kehidupan rakyat semakin terhimpit maka kerajaan negeri perlulah mempunyai inisiatif untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Kita faham bajet yang bakal dibentangkan kelak haruslah seiring dengan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tetapi besarlah harapan rakyat khususnya orang muda agar masalah rakyat menjadi pokok utama dalam pembentangan itu kelak.

“Selain itu saya juga berharap akan ada inisiatif yang baik untuk golongan muda dalam perkara keusahawanan mahupun kemahiran.

“Ini penting kerana ia dapat membantu memperbaiki kos sara hidup rakyat di negeri ini. Dengan kemahiran dan bidang keusahawanan sudah pasti rakyat khususnya belia dapat menaik taraf kehidupan mereka,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Selain itu, Hahasrin juga berharap agar Bajet Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada masalah golongan belia untuk memiliki rumah mampu milik samada dari segi akses untuk memiliki atau masalah pinjaman.

“Harga rumah sekarang ini melambung tinggi. Sekiranya kerajaan tidak membantu sudah pastilah golongan muda tidak mampu untuk memiliki rumah pertama.

“Inilah antara perkara-perkara penting yang saya fikirkan perlu diberi penekanan dalam bajet kerajaan negeri,” katanya lagi.