Adun Sri Medan Sumbang Van

BATU PAHAT – Kampung Parit Laman dan Kampung Sejagong, di Sri Medan, di sini mendapat perhatian daripada wakil rakyat mereka apabila masing-masing menerima sebuah van untuk tujuan kebajikan.

imageAdun Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, penyerahan dua van berkenaan adalah sebagai sebahagian tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat supaya dapat meringankan beban masyarakat setempat di kampung berkenaan.

“Dalam masa terdekat ini, pihak Dun Sri Medan akan menyerahkan tiga lagi van sama kepada tiga kampung lain dalam kawasan ini, selain akan mempertimbangkan permohonan daripada kampung lain.

“Pelbagai urusan dapat dipermudah sekiranya mempunyai van yang akan diletakkan di bawah pengurusan jawatan kuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) atau jawatan kuasa masjid.

“Antaranya adalah untuk urusan membawa jenazah serta sebagai pengangkutan bagi mereka yang memerlukan untuk ke hospital dan sebagainya,” katanya selepas majlis penyerahan van terbabit.

Menurut Zulkurnain lagi, pihaknya akan sentiasa mendengar setiap masalah dihadapi dalam masyarakat dan akan cuba menyelesaikannya terutama melibatkan soal kebajikan orang ramai.

“Pelbagai masalah yang diutarakan oleh masyarakat dan sebagai wakil rakyat saya akan cuba selesaikan. Antara masalah itu termasuklah berkaitan soal kebajikan, pembangunan serta kemudahan orang ramai,” katanya. – Sinar