Keganasan Rumah Tangga: Kes Di Johor Masih Tinggi – Asiah

JOHOR BAHRU – Walaupun statistik keganasan rumah tangga yang dicatatkan menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun Johor masih merekodkan kes kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor.

imagePengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asiah Md Arif berkata, rekod itu diambil untuk tempoh Januari 2012 hingga Ogos tahun ini yang mencatatkan 1,903 kes.

Menurutnya, statistik menunjukkan 583 kes dicatatkan pada 2013 kepada 541 kes pada tahun 2014 dan 429 kes pada tahun ini.

“Punca utama keganasan rumah tangga adalah disebabkan perselisihan faham yang menyumbang 20 peratus daripada statistik yang dicatatkan setiap tahun.

“Keadaan marah yang tidak terkawal menyebabkan lelaki atau suami mudah melakukan keganasan dengan memukul, menampar, menendang dan lain-lain perlakuan fizikal menyakitkan.

“Ini sebenarnya bukan sahaja mendatangkan krisis dan trauma terhadap wanita namun juga kepada anak yang melihat,” katanya selepas menyempurnakan Program Lukisan Grafiti Sempena Kempen 90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 di Sekolah Seni Malaysia Johor, baru-baru ini.

Asiah berkata, masalah keganasan rumah tangga ini juga secara tidak langsung akan menyumbang berlaku masalah sosial termasuk remaja lari dari rumah dan penyalahgunaan dadah.

“Johor merupakan negeri tertinggi bilangan kanak-kanak terlibat dengan jenayah iaitu 805 orang pada 2013. Sehubungan itu kita perlu membendung kegiatan ini demi menyelamatkan generasi kita akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan untuk mengatasi permasalahan ini termasuk menggubal undang-undang tertentu, program pencegahan, seminar dan mewujudkan talian kasih 15999.