Pengalaman, Kesiapsiagaan Pelbagai Agensi Negeri Mampu Tangani Banjir Di Johor

NUSAJAYA, 11 Nov  — Kerajaan negeri Johor tidak mungkin berdepan masalah membantu mangsa-mangsa banjir berikutan kesiapsiagaan dan pengalaman pelbagai agensi menghadapi bencana itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim berkata antara inisiatif yang telah dilakukan ialah menghantar bekalan makanan mencukupi kepada penduduk perkampungan Orang Asli di pulau-pulau sebagai persediaan menghadapi situasi terputus hubungan akibat bencana itu.

FW354212_PR02_241214_PERLIS1“Pegawai-pegawai daerah juga sudah bersedia memainkan peranan sebagai pengerusi bencana di kawasan masing-masing bagi memastikan segala urusan berkaitan bencana ini, dapat diatasi dengan baik,” kata Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Majlis Peralihan Peranan dan Tanggungjawab Pengurusan Bencana Negeri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Kota Iskandar.

Pengambilalihan tanggungjawab itu dilakukan antara Setiausaha Keselamatan MKN negeri Baharuddin Tahir dan Pengarah JPAM negeri Kol Mat Zin Bujang.

Ismail berkata seperti tahun lepas, pihaknya juga menyediakan 628 pusat pemindahan di seluruh negeri tahun ini bagi menerima mangsa-mangsa banjir.

Jumlah itu termasuk 70 pusat pemindahan di Johor Baharu, Muar (55), Kluang (63), Kota Tinggi (45), Kulai (19), Pontian (22), Ledang (69), Batu Pahat (123) dan Segamat (132).

Dari segi aset yang akan digerakkan, beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa jumlahnya mencukupi untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kesemua pusat pemindahan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laman sesawangnya meramalkan hujan dan ribut petir akan berlaku di satu atau dua tempat di negeri ini pada sebelah petang dan malam bermula hari ini hingga Selasa depan.

Keadaan itu akan mengakibatkan kelajuan angin adalah pada kadar 10 hingga 20 kilometer sejam di perairan Johor Barat dan Timur manakala ketinggian ombak pula mencecah satu meter.