VAPE Perisa Ketum dan Syabu di Kesan di Johor

BATU PAHAT: Ramai pihak telah menyuarakan kebimbangan apabila terdapat penyalahgunaan vape berperisa ketum dan syabu yang telah dikesan di negeri ini yang boleh memburukkan lagi gejala sosial terutama dalam kalangan remaja.

vapePengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kegiatan terbabit daripada beberapa agensi yang mengesan kewujudan perisa ketum dan syabu berbanding perisa asal seperti mangga, coklat, kopi dan oren.

Menurut beliau, maklumat lanjut sedang dikumpul oleh pihak berkuasa sebelum serbuan dibuat bagi membendung penyalahgunaan vape tersebut.

Katanya, sebanyak 616 botol cecair vape yang mengandungi nikotin telah dirampas daripada enam buah premis menjual bahan itu di Johor Bahru dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Johor, Khamis lalu.

Tambahnya, nilai rampasan berjumlah RM23, 015 melibatkan 146 jenis cecair berperpisa yang mengandungi nikotin dan boleh memberi kesan seperti rokok biasa.

“Ianya merupakan bahan terkawal di bawah Akta Racun dan salah jika dijadual tanpa lesen yang sah” katanya selepas merasmikan Jelajah Jom Kenal Ubat Anda peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Montfort.