Ramli Hassan Memangku Jawatan Ketua Polis Johor

JOHOR BAHARU, 3 Nov — Ketua Cawangan Khas Johor Datuk Ramli Hassan dilantik memangku jawatan Ketua Polis Johor berkuat kuasa hari ini.

Ramli mengambil alih tugas berkenaan daripada Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad yang kini dilantik sebagai Ketua Urus Setia (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

12189305_1172961159398063_6183439339985238271_oMajlis serah terima tugas antara Rusli dan Ramli diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Selasa, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor antara Datin Azmah Abd Karim kepada Datin Mahizah Abd Malik yang disaksikan Pengerusi Perkep JSJ Bukit Aman, Datin Seri Salasiah Bidin.

Terdahulu, berucap pada majlis berkenaan, Rusli, 58, mengingatkan seluruh pegawai dan anggota polis supaya terus berusaha mengurangkan kadar jenayah selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor selama enam bulan berkuat kuasa 26 April lepas, Rusli berkata beliau turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan dan rukun tetangga di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan.

“Hingga kini keselamatan negeri Johor berada dalam keadaan aman dan terkawal. Kita telah melakukan pelbagai inisiatif dalam penugasan bagi memastikan negeri ini selamat didiami, melakukan perniagaan serta melancong,” katanya.