Kastam Johor Gagalkan Cubaan Seludup 104,400 Karton Rokok Di Pelabuhan

JOHOR BAHARU, 3 Nov — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 104,400 karton rokok putih bernilai RM13.55 juta termasuk cukai dalam pemeriksaan di dua pelabuhan di negeri ini, bulan lepas.

Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari berkata pemeriksaan pertama di Pelabuhan Pasir Gudang, 19 Okt lepas dan pemeriksaan kedua di Pelabuhan Tanjung Pelepas, 30 Okt lepas itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam yang bertindak atas maklumat awam.

Unknown“Dalam pemeriksaan terhadap sebuah kontena kira-kira 4 petang di Pelabuhan Pasir Gudang, anggota kastam menemui 52,500 karton rokok putih berjenama Zon King seberat 8,400 kilogram.

Rokok dipercayai dari China tersebut dianggar bernilai RM840,000 manakala cukai serta dutinya ditaksir bernilai RM6.01 juta,” katanya kepada pemberita di sini Menara Kastam di sini.

Ramli berkata siasatan awal sebelum itu mendapati kontena berkenaan diikrar sebagai membawa bahan pelekat industri berjumlah 224 kotak, namun, hasil pemeriksaan kemudian menemui kesemua rokok tersebut.

Menurut Ramli, dalam pemeriksaan kedua kira-kira 10 pagi terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pula, pihaknya menemui 51,900 karton rokok putih berjenama Modern, Modeng dan RGD seberat 8,712 kilogram.

Beliau berkata rokok dipercayai dari Thailand itu dianggar bernilai RM544,500 manakala cukai serta dutinya ditaksir bernilai RM6.15 juta.

Siasatan awal mendapati dagangan kontena itu diikrar sebagai colok berjumlah 1,088 kotak, katanya.

“Dalam kedua-dua kes di pelabuhan itu, dua ejen perkapalan berusia 20-an turut ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967. Kontena terbabit pula disita ke Stor Penguatkuasaan Kastam Johor Baharu bagi tindakan lanjut,” katanya.