UMNO Muar Wujud Pusat Dialisis

MUAR – Mulai Januari tahun hadapan, UMNO Bahagian Muar akan mewujudkan pusat dialisis dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan khidmat bakti kepada penduduk sekitar daerah ini.

image-3Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Sarip berkata pembukaan pusat berkenaan berikutan mendapat banyak permohonan agar lebih banyak pusat tersebut diwujudkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Ini kerana di daerah Muar ini begitu kurang pusat sebegini dan dengan siapnya bangunan baharu Umno bahagian ini, kita rasakan sudah sampainya masanya sebuah pusat (dialisis) di buka di bangunan ini.

“Keputusan ini diputuskan semalam melalui satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Jom Sihat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan Muar, Dr Mohd Rashidi Abdul Salam.

Ashari berkata, pusat berkenaan itu yang boleh memuatkan sebanyak 20 pesakit pada satu masa diharapkan akan dapat membantu meringankan penderitaan pesakit buah pinggang.

Katanya, pusat berkenaan akan membantu terutama dalam soal kewangan kepada pesakit yang kurang berkemampuan dengan kerjasama NGO berkenaan.

“Kita akan melihat dalam soal kesihatan yang lain bagaimana bangunan baharu ini boleh dimanfaatkan oleh rakyat yang mahu mendapatkan khidmat  nasihat kesihatan dan sebagainya nanti,” katanya.

Beliau berkata, selain itu bangunan baharu itu juga akan menjadi pusat sehenti kepada orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan pengguna  yang lain seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan khidmat-khidmat yang lain.

Bangunan baharu Umno Muar yang berharga kira-kira RM7 juta itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 September lepas.