Politik Harus Diterjemah Mengikut Ideologi Semangat Kesatuan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Politik harus diterjemahkan mengikut ideologi semangat kesatuan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

12192997_1647374135517205_998477671_oBeliau yang merupakan Menteri Pertahanan juga meminta mana-mana gabungan parti politik supaya menerapkan perpaduan bagi membina masa depan bangsa dan negara.
Katanya, sebagai asas politik semua pihak perlu menjauhi politik perpecahan dan kebencian.

“Dalam politik tidak semestinya menjurus kepada perpecahan kerana politik ada had dan batasannya dan janganlah kita marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

20151103031232“Apa yang penting sekarang kita mestilah ada asas-asas politik yang membina untuk masa depan negara,” katanya selepas menyertai larian amal Malaysian United Run anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di Padang Merbuk, di sini, Ahad.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Sabtu berkaitan Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipelopori beberapa bekas pemimpin PAS secara tidak langsung telah mewujudkan peluang kepada UMNO untuk mencari titik persefahaman dengan PAS.

Mukhriz yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, tindakan pemimpin PAS melompat ke Amanah merupakan peluang kepada UMNO untuk menghidupkan semula usaha mencari titik persefahaman dengan PAS.