Peka Risiko ?Penyakit Kanser

BATU PAHAT – Orang ramai dinasihatkan lebih peka dan mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kanser kerana penyakit itu mampu dirawat jika dikesan awal.

Malah, kajian juga mendapati masyarakat kini lebih berisiko menghidap penyakit itu terutamanya kanser payudara memandangkan seorang daripada 10 individu berisiko dijangkiti kanser.

image-6Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Negeri Johor (I-Care), Latipah Sa’at berkata, langkah terbaik untuk mengesan penyakit kanser adalah bermula dengan diri yang mempunyai kesedaran untuk melakukan pemeriksaan termasuk melakukannya secara sendiri di rumah.

“Ada sesetengah individu yang sudah dapat mengesan lebih awal bahawa mereka berisiko menghidap kanser tetapi takut untuk melakukan tindakan susulan termasuk membuat pemeriksaan di klinik atau hospital.

“Kita telah melaksanakan pelbagai program untuk memberi ke­sedaran kepada orang ramai termasuk memberi subsidi mamogram, kaunseling, ceramah dan perkongsian pengalaman dengan para pesakit,” katanya dalam majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara – Pink Oktober anjuran Hospital Pantai Batu Pahat yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad di Batu Pahat Mall, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Noraini akan sentiasa menyokong usaha semua pihak yang melaksanakan kempen kesedaran seumpama itu untuk mendidik orang ramai tentang risiko kanser payudara.

“Orang ramai tidak perlu takut untuk melakukan pemeriksaan jika terdapat tanda-tanda awal menghidap kanser kerana penyakit ini boleh dirawat jika dikesan lebih awal.

“Jika dahulu kanser ini dianggap sebagai ‘penyakit orang tua’ kerana kebanyakan penghidapnya terdiri daripada wanita yang berumur antara 40 hingga 50 tahun, tetapi kini golongan muda yang berusia 20 tahun juga berisiko kerana faktor genetik,” katanya.