Masyarakat Disaran Jadi Sahabat Pelancongan

JOHOR BAHRU – Masyarakat di negeri ini disaran memainkan peranan sebagai Sahabat Pelancongan Johor dalam mempromosikan produk pelancongan sekali gus membantu menarik kehadiran lima juta pelancong antarabangsa seperti disasarkan tahun depan.
blogger-image--2067129259Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah dan penuntut universiti boleh mempromosikan produk pelancongan itu melalui penceritaan identiti sejarah Johor, bahasa, budaya, bangsa Johor, makanan, geografi serta aktiviti masyarakat setempat.

“Sebagai Sahabat Pelancongan Johor, mereka (masyarakat) akan menjadi medium pemasaran melalui penceritaan menarik mengenai destinasi yang ingin dilawati dengan menggunakan medium sosial masa kini seperti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan kepulangan anggota Kelab Media Johor bersempena Misi Explore Johor-Jelajah Media Johor ke Hat Yai dan Songkhla, Thailand di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Asman Shah Abd Rahman; Pengurus Wilayah Selatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Omar Nazari Othman dan Presiden Kelab Media, Johor Fauzi Ishak.

Siew Kiong berkata, kerajaan Johor juga amat komited dalam kempen misi penggalakan pelancongan ke luar negara yang dinamakan Explore Johor bagi meletakkan Johor sebagai destinasi percutian ideal untuk dilawati bagi segenap segmen pasaran antarabangsa.

Menurutnya kerajaan Johor melalui Jabatan Pelancongan Negeri Johor juga telah mengenal pasti potensi pasaran pelancongan Thailand yang dijangka menjadi destinasi misi Explore Johor tahun depan dengan tumpuan lokasi di Bangkok.

“Penyertaan misi promosi bersepadu ini dijangka melibatkan sokongan sepenuhnya agensi pelancongan di negeri seiring dengan usaha meningkatkan ketibaan para pelancong dari Thailand ke Johor,” katanya.

Mengenai Misi Explore Johor-Jelajah Media Johor ke Hat Yai dan Songkhla, Siew Kiong berkata, ia menepati kempen promosi ‘Pelancongan Rel’ yang menggalakkan para pelancong domestik dan antarabangsa untuk menikmati pemandangan menarik
sepanjang laluan perjalanan menaiki kereta api.

Tiga puluh pengamal media anggota Kelab Media Johor menyertai misi terbabit yang menggunakan perkhidmatan Tren Ekspres Peninsular Johor Baharu-Hat Yai-Johor Bahru mulai Rabu lepas.