Kemenangan JDT Membanggakan – MB

Dushanbe (Tajikistan) – Kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merangkul kejuaran Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) amat membanggakan.

20151031100240Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan itu berkat usaha dan semangat kental para pemain.
“Kemenangan itu juga adalah berkat doa dan sokongan, bukan hanya para penyokong JDT, malah rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang turut menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Central Republican Dushanbe, Tajikistan itu berkata, pemain JDT mewakili bukan hanya Johor, tetapi negara apabila berdepan dengan pasukan Istiklol FC.

Beliau bangga dengan kejayaan pasukan JDT itu dan mengucapkan tahniah kepada pemain serta semua yang telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan yang cukup bermakna tersebut.

“Semoga kemenangan itu dapat menyuntik semangat baru kepada pasukan JDT untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Ia juga dapat menjadi pendorong kepada pasukan bolasepak tempatan untuk mengorak langkah ke arah mencipta kejayaan yang sama,” tambahnya lagi.