Semua Mesti Banteras Denggi – Azahar

LABIS 29 Okt. – Semua pihak diminta memainkan peranan masing-masing termasuk melibatkan diri secara langsung dalam program pe­ncegahan denggi yang dijalankan kerajaan, terutamanya oleh Kementerian Kesihatan.

Azahar DenggiAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, jumlah kes demam denggi yang dicatatkan di daerah ini menunjukkan peningkat­an ketara dengan 185 kes termasuk dua kematian hingga 17 Oktober lalu.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 39 peratus berbanding 133 kes dengan hanya satu kematian pada tahun lalu dan ini amat membimbangkan dengan Mukim Labis merekodkan kes tertinggi sebanyak 41 kes,” kata­nya semasa merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Denggi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Kampung Sungai Gatom, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini keba­nyakan program pencegahan denggi anjurkan Kementerian Kesihatan dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) bersama jawatankuasa penduduk agak kurang mendapat sambutan daripada komuniti setempat.

Beliau berkata, walaupun di setiap zon ahli majlis pihak ber­kuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Ke­selamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di daerah ini telah ditubuhkan Combi, namun kesedaran masyarakat terhadap penya­kit itu masih ren­dah.

Mohd. Azahar berkata, tang­­gungjawab menghapuskan nyamuk aedes ini bukan hanya di bahu kementerian dan PBT, malah menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya masyarakat untuk memastikan kawasan kediaman dan persekitaran mereka sentiasa bersih.

“Kebanyakan kawasan lapang yang dikhuatiri menjadi pusat pembiakan aedes terletak di kawasan berhampiran kediaman penduduk atau tempat tumpuan awam dan usaha perlu digerakkan bagi membersihkan kawasan ber­kenaan,” katanya.- Utusan