Rawatan awal di Klinik 1Malaysia Taman Emas – Ayub

KLUANG 29 Okt. – Klinik 1Malaysia Taman Emas yang mula beroperasi sejak 30 Ogos lalu mampu mengurangkan kepadatan pengunjung di Klinik Kesihatan Jalan Mengkibol, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, klinik tersebut dapat memberi rawatan awal kepada kira-kira 1,000 pesakit se­bulan berdasarkan rekod sejak mula beroperasi.

image-1Menurutnya, seramai 870 pesakit telah menerima rawatan di Klinik 1Malaysia itu hingga September lalu, manakala rekod pada bulan ini menunjukkan seramai 522 pesakit berkunjung dan jumlah tersebut dijangka bertambah pada akhir bulan ini.

“Bilangan pesakit akan bertambah sekiranya perkhidmatan terbaik diberikan di Klinik 1Malaysia kerana objektif penubuhan klinik itu adalah berdasarkan kepadatan penduduk yang tinggi dan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan yang tinggal di bandar.

“Klinik 1Malaysia di Taman Emas ini merupakan klinik ketiga seumpama itu di daerah ini selain di Taman Sri Lambak dan Taman Impian serta yang ke-21 di negeri ini,” katanya semasa merasmikan Klinik 1Malaysia Taman Emas, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Muhammad Fuad Radzuan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Ismail Abu dan Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Dr. Mohd. Nizam Subaher.

Ayub berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM75,000 untuk mewujudkan Klinik 1Malaysia Taman Emas dengan konsep menyewa dan mengubah suai premis sedia ada.

“Klinik ini adalah yang terakhir diwujudkan pada tahun ini dan kerajaan tidak membina bangunan baharu, sebaliknya hanya menyewa premis sedia ada dan me­lakukan sedikit pengubahsuaian,” katanya.