Pembangkang Cuba Pengaruhi Belia Felda Untuk Rampas Kerajaan – Anuar Manap

SEKIJANG, 30 Okt – Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Manap berkata, beliau tidak menolak bahawa generasi muda Felda yang tinggal di Bandar cenderung untuk terpengaruh dengan fitnah pembangkang khususnya apa yang disebarkan melalui media sosial.

Jelasnya, memang telah menjadi agenda utama pembangkang untuk memburukkan kerajaan bagi melunturkan kepercayaan anak-anak muda Felda.

maxresdefault“Pembangkang sedar, kekuatan kerajaan adalah di Felda maka untuk menjatuh dan merampas kerajaan mereka harus mendapatkan kepercayaan masyarakat Felda… menerusi generasi muda Felda, mereka jalankan ‘jarum-jarum halus’ mencucuk anak-anak muda Felda agar bencikan kerajaan.

“Anak-anak muda yang terpengaruh ini pula akan menyebar dan menyampaikan kepada masyarakat Felda yang lain. Oleh itu saya amat berharap agar semua warga Felda tidak kira usia agar siasat terlebih dahulu segala berita yang diterima,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Anuar, pihak pengurusan dengan kerjasama pimpinan tertinggi di setiap tanah rancangan, sentiasa turun padang bagi menyelesaikan segala isu dna hal yang berkaitan terutama masalah di kawasan ladang.

Dengan kerjasama erat antara pimpinan tinggi Felda termasuk NGO, maka beliau yakin semua isu dapat diterangkang dengan baik seterusnya menangkis fitnah pembangkang.

Jelasnya lagi, memang telah menjadi rahsia umum bahawa pembangkang mahu merampas Felda daripada pimpinan Barisan Nasional (BN). Kerana itulah, jelas dapat dilihat pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pembangkang berkaitan Felda.

“Masa Felda dibuka pada tahun 1956, pembangkang cakap Kerajaan gila hantar orang masuk hutan. Hari ini bila sudah melihat kejayaan Felda mereka pula naik gila mahu rampas Felda.. burukkan kerajaan konon tak pandai jaga Felda sedangkan selama ini ‘orang gila’ itulah yang memberikan kehidupan kepada orang yang masuk hutan itu.”

“Sejak dahulu hingga kini hanya Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh BN yang menjaga masa hadapan generasi baharu Felda dan warga peneroka Felda.

“Tidak ada seorangpun yang mampu menolak dan menidakkan jasa kerajaan. Pelbagai perancangan untuk pembangunan generasi baharu Felda dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, sukan, termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada warga generasi baharu Felda telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat,” tegasnya.

Oleh itu, Anuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Sekijang amat berharap agar generasi kedua Felda tidak akan terpengaruh dengan agenda jahat pembangkang.

Semua generasi Felda perlu terus bersatu menolak fitnah demi memastikan masa hadapan warga Felda terus terjamin.

Tambah Anuar, sebelum pembangkang terus-terusan memburukkan Kerajaan Pusat mengenai isu Felda, seharusnya mereka cermin diri dahulu. Tujuan mereka memburukkan Felda sebenarnya hanyalah untuk menutup kegagalan mereka menguruskan ladang rakyat.