‘Peluang Sekali Seumur Hidup’: Aidil, Safee Harap JDT Pulang Bersama Kejuaraan

KUALA LUMPUR – Kesempatan beraksi di pentas akhir Piala AFC tidak selalu hadir, dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang esok untuk membawa pulang kejuaraan buat kali pertama.

imageBiarpun misi tersebut tidak mudah kerana JDT bakal berdepan kelab Tajikistan, Istiklol di depan penyokong mereka sendiri, namun tonggak pertahanan Harimau Selatan, Mohd. Aidil Zafuan Abd Radzak percaya, tiada yang mustahil untuk dilakukan jika dia dan rakan-rakan mampu memberi aksi terbaik di Dushanbe.

Katanya, JDT sudahpun membuktikan kehebatan di peringkat domestik dengan merangkul kejuaraan Liga Super dua musim berturut-turut, kini tiba masanya mereka membuktikan pula keupayaan bersaing di peringkat lebih tinggi dengan menjadikan Piala AFC sebagai sasaran.

“Bagi saya, mara ke final sebenarnya adalah satu bonus kerana sasaran awal kami adalah untuk pergi sejauh yang boleh.

“Ia (layak ke akhir) adalah peluang yang mungkin hadir sekali seumur hidup, jadi alang-alang sudah menjejak kaki di pentas akhir, kami tidak boleh sia-siakan. Kami boleh mencipta sejarah baharu kalau menang di sini.

“Malah, sepanjang sesi latihan saya dapat lihat kesungguhan dan semangat tinggi dipamerkan rakan-rakan sepasukan..ini me­nunjukkan bahawa semua pemain dahagakan kejayaan sulung di pentas Asia,” kata Aidil ketika dihubungi Utusan Malaysia di Dus­hanbe, semalam.

Menurut Aidil, pasukannya memulakan latihan sejurus tiba di ibu negara Tajikistan itu kelmarin selepas mengharungi perjalanan hampir 14 jam.

Keadaan cuaca yang agak sejuk pada awalnya memberi sedikit kesukaran, namun selepas hari kedua berlatih mereka semakin menyesuaikan diri.

Pemain berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui, ke­lebihan berpihak kepada Istiklol kerana bukan saja bakal beraksi di depan penyokong sendiri, malah sudah biasa dengan cuaca sejuk.

“Saya fikir kelebihan menjadi milik lawan kerana mereka bermain di tempat sendiri, namun harus diingat setiap perlawanan berbeza. JDT tidak tertekan dan jika Kami memberi aksi terbaik, tidak mustahil menang,” jelasnya.

Sementara itu, penyerang JDT, Safee Sali berkata, peluang beraksi di pentas akhir Piala AFC adalah kesempatan terbaiknya untuk merangkul trofi di peringkat kelab Asia sebelum bersara.

Pemain kelahiran Selangor yang meledak dua gol ketika membantu JDT membenam kelab Hong Kong, South China pada suku akhir ke­dua itu bertekad untuk menjulang Piala AFC dan mengakui semakin serasi berganding dengan Luciano Figueroa.

“Ini kali pertama JDT beraksi di final dan ini pentas pa­ling tinggi dalam karier saya. Harap saya dapat akhiri kejohanan de­ngan cemerlang untuk rakyat Johor dan Malaysia.

“Keserasian semakin hari bertambah baik apabila saya kerap diturunkan. Saya harap siapa pun yang akan disenaraikan dapat membantu pasukan menjuarai Piala AFC,” katanya.

Dalam separuh akhir pertama, JDT tewas 3-1 kepada kelab Kuwait, Qadsia SC.

Namun mereka tidak perlu beraksi pada perlawanan timbal balik selepas ­penyertaan Qadsia dibatalkan ekoran penggantu­ngan Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA).- Utusan