Sahrihan Berazam Tarik Generasi Muda Sokong BN

JOHOR BAHRU 28 Okt. – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani, 38, yang dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO negeri menggantikan Datuk Khairul Anwar Rahmat berazam menarik lebih ramai generasi muda menyertai dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau yang merupakan seorang peguam menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pengiktirafan dan tanggungjawab serta amanah besar yang harus digalas bagi memastikan kelangsungan Pemuda UMNO Johor.

20151030075152“Sejujurnya saya terkejut dengan pelantikan ini, namun pada masa yang sama saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk membantu mengemudi Pemuda UMNO Johor yang kini diterajui oleh Hahasrin Hashim selaku Ketua Pemuda UMNO negeri.

“Saya akan bekerjasama dengan Hahasrin bagi melaksanakan program dan aktiviti yang mampu menarik perhatian golongan muda menyertai UMNO. Mewujudkan hubungan secara langsung dengan mereka dan akan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sahrihan turut berazam untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan negeri ini supaya terus diterajui kerajaan BN.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Hahasrin atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tugas tersebut. – Utusan