1,500 Ukir Senyuman Dengar Khabar Gembira

JOHOR BAHRU 28 Okt. – Kira-kira 1,500 penghuni Rumah Pangsa Taman Cendana, di sini boleh mengukir senyuman tatkala mendengar khabar gembira yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin apabila kediaman yang disewa itu bakal ditukarkan menjadi skim sewa beli.

imageMohamed Khaled berkata, kerajaan negeri menetapkan bahawa harga jualan rumah dua bilik itu adalah RM35,000 dan mereka hanya perlu membayar RM218 sebulan selama 20 tahun.

Beliau berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut membeli sebanyak 150 unit kediaman berkenaan untuk dijadikan rumah transit bagi mengatasi masalah penempatan untuk golongan fakir dan miskin di kawasan tersebut.

“Skim sewa beli yang diperkenalkan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan mereka yang berpendapatan rendah, namun ingin memiliki rumah sendiri.

“Malah, skim ini juga adalah salah satu cara kerajan negeri membantu golongan tersebut dalam mengatasi isu susah nak mendapatkan pinjaman bank bagi membeli rumah,” katanya selepas merasmikan Skim Sewa Beli dan Rumah Transit MAINJ, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md. Rofiki A. Shamsudin.

Mohamed Khaled berkata, skim sewa beli berkenaan juga akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat ke beberapa kawasan termasuk Rumah Pangsa Kangkar Pulai, Rumah Pangsa Seri Alam dan rumah pangsa kos rendah bagi penempatan semula setinggan yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

Beliau berkata, kerajaan negeri amat komited dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk negeri ini yang berpendapatan rendah, namun ingin memiliki kediaman sendiri.- Utusan