Gesa Patuh Arahan Notis Dikeluarkan – Ayub

JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berkunjung ke Hutan Lipur Gunung Pulai 1 dan 2, di sini, yang disyaki dicemari bakteria Leptospirosis atau kencing tikus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pengunjung diharap dapat memberikan kerjasama kepada pihak berwajib menyelesaikan perkara itu.

image“Pihak kami akan cuba menyelesaikan perkara ini dan memohon agar orang ramai untuk memberikan kerjasama untuk tidak datang lagi ke sana supaya tidak mengganggu kajian yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Seminar Teknikal Penolong Pegawai Pertanian Negeri Johor di Hotel New York di sini, kelmarin.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengeluarkan notis larangan dan penutupan selama tiga bulan hutan lipur berkenaan pada minggu lalu.

Kajian dilakukan bagi memastikan hutan lipur berkenaan bebas dari bakteria berkenaan, atau pihak berwajib memerlukan lebih tempoh penutupan.

Ayub berkata, sikap tidak berdisiplin pengunjung dipercayai menjadi punca utama kawasan rekreasi terbabit tercemar dengan bakteria itu.

Katanya, hasil kajian yang telah dilakukan oleh pihaknya mengesahkan sampel air di kawasan terbabit dicemari wabak berkenaan.

“Ia disyaki berpunca daripada orang ramai yang mengunjungi destinasi tersebut.

“Meskipun telah ditutup semenjak beberapa tahun yang lalu, kami dapati kawasan itu tetap dikunjungi orang ramai dan ada kalanya mencecah sehingga ribuan orang ketika hujung minggu.

“Dan disebabkan angka yang terlalu ramai itu, terdapat segelintir individu yang tidak berdisiplin membuang sampah merata-rata sekali gus menjadikan kawasan itu kotor dan tercemar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, timbunan sampah yang mencecah sehingga kira-kira dua tan seminggu di kawasan rekreasi itu juga telah meningkatkan aktiviti pembiakan tikus yang merupakan pembawa utama wabak terbabit.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung perkara tersebut daripada berlaku, namun sikap tidak prihatin pengunjung yang datang ke sana masih lagi berlaku.

“Malah notis larangan masuk ke kawasan rekreasi itu juga dijangka akan terus berjalan jika kawasan tersebut masih belum dibersihkan,” katanya. – Sinar Harian