Banteras Dadah Semakin Mencabar – Azahar

LABIS 27 Okt. – Kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin meluas dan mudah didapati ketika ini menjadikan tugas anggota penguat kuasa semakin mencabar.

Ini kerana dadah sintetik berupaya menyebabkan penagih sema­kin ‘gila dan ganas’ sehingga sanggup melakukan pelbagai jenayah untuk mendapat wang bagi membeli bahan terlarang berkenaan.

imageAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, masalah berkaitan dadah bukan setakat penagihan dan pengedaran, malah melibatkan pelbagai perlakuan jenayah lain seperti mencuri motosikal, merogol, menya­mun termasuk membunuh.

“Selain didikan agama, peranan keluarga dan masyarakat merupakan benteng ampuh yang mampu menghalang golongan remaja terlibat dalam penagihan najis dadah yang boleh memusnahkan masa depan mereka.

“Pendidikan tentang bahaya serta ancaman najis dadah harus didedahkan pada peringkat awal prasekolah dan harus dilakukan secara berterusan kerana pendidikan merupakan salah satu elemen penting selain penguatkuasaan dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah,” katanya semasa merasmikan Program Kembara Kasih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat di Balai Raya Kampung Paya Merah, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai AADK Segamat, Nasharuddin Aziz berkata, terdapat seramai 2,319 penagih berdaftar di daerah ini setakat ini dengan 66 daripada mereka di sekitar Labis, Chaah dan Bekok.

Beliau berkata, pihaknya me­nubuhkan sebuah jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) yang terdiri daripada 25 ahli berperanan membantu usaha memulihkan penagih dadah.- Utusan