Bajet 2016 Pacu Ekonomi, Bantu Rakyat

JOHOR BAHRU 25 Okt. – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yakin Bajet 2016 akan memberi manfaat kepada Iskandar Malaysia, sekali gus mampu memacu perkembangan ekonomi dan menambah baik sosio-ekonomi rakyat.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, ini kerana Pelan Pembangunan Komprehensif II Iskandar Malaysia yang dirancang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang diumumkan pada Mei lalu.

imageBeliau juga menyifatkan bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin sebagai menyeluruh dan diyakini dapat meningkatkan serta membantu rakyat terutamanya dalam menghadapi ekonomi mencabar pada masa ini.

“Iskandar Malaysia akan terus memberi fokus terhadap kemapanan dan berdasarkan pengumuman peruntukan Agenda Hijau, ia dapat menyokong wilayah ini dalam merealisasikan matlamat Masyarakat Rendah Karbon,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, sebagai salah sebuah ekonomi yang berkembang pesat, Iskandar Malaysia juga menawarkan dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan daripada tidak berkemahiran, berkemahiran sederhana dan berkemahiran tinggi.

Malah, katanya, IRDA juga mendapat pengiktirafan sebagai sebuah koridor ekonomi terbaik yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui sumbangan dalam memperkasakan agenda institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Justeru, Iskandar Malaysia bersedia menjadi perintis kepada insentif baharu bagi melatih dan menambah baik kemahiran modal insan termasuk syarikat yang berminat untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memastikan rumah mampu milik dibina dengan segera bagi memenuhi permintaan tinggi daripada golongan berpendapatan sederhana dan belia.

IRDA menjangkakan, sebanyak 666,000 unit rumah mampu milik diperlukan di wilayah itu menjelang 2025.

“Semua agenda mapan itu ialah untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis pintar merangkumi aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Ia merupakan matlamat kami bagi memastikan keterangkuman wilayah itu dapat memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara,” katanya. Selain itu, tambahnya, IRDA juga menyambut baik pelaburan berimpak tinggi oleh Khazanah Nasional Bhd., yang selari dengan sektor ekonomi yang dipromosikan di Iskandar Malaysia seperti pelancongan, penjagaan kesihatan, dan pendidikan.

Bagi pelaburan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, katanya, projek tersebut pasti akan memberi limpahan ekonomi kepada Iskandar Malaysia menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan. – Utusan