Kerajaan Johor Tawar 1,352 Unit Rumah Pangsa Taman Cendana Untuk Skim Sewa Beli

JOHOR BAHARU, 25 Okt — Kerajaan Negeri Johor menawarkan 1,352 unit Rumah Pangsa Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini untuk ditukar kepada Skim Sewa Beli bagi memanfaatkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah memperkenalkan pembelian rumah secara sewa beli itu dinyatakan menerusi pembentangan Bajet Johor 2015, tahun lepas, sekali gus membuktikan kerajaan negeri berpegang pada janji.

bt_21.1“Penawaran ini merupakan berita gembira buat penghuni Rumah Pangsa Taman Cendana yang sebelum ini menyewa di perumahan itu. Jika sebelum ini mereka khuatir tidak dapat terus mendiami rumah tersebut, maka, hari ini, kerajaan Johor bersetuju menawarkan skim ini dengan harga jualan RM35,000 bagi setiap unit rumah,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas berkata demikian selepas melancarkan Skim Sewa Beli dan Rumah Transit Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) di Rumah Pangsa Taman Cendana, di sini.

Beliau berkata harga RM35,000 yang ditawarkan di rumah pangsa dua bilik yang dibina sejak 18 tahun lepas itu lebih rendah jika dibandingkan dengan harga Perumahan Komuniti Johor jenis A (PKJ A) iaitu RM42,000, walaupun, saiz rumah yang hampir sama.

Beliau berkata setiap pembeli akan dikenakan bayaran bulanan RM218 bagi tempoh 20 tahun atau 240 bulan.

Katanya jumlah keseluruhan unit rumah pangsa itu adalah 1,502 unit tetapi sebanyak 150 unit daripadanya pula akan dibeli MAIJ bagi dijadikan rumah transit dalam usaha mengatasi masalah penempatan bagi golongan miskin beragama Islam di bandar raya ini.

“Rumah ini yang dibeli menggunakan wang zakat akan diduduki asnaf fakir secara percuma sehingga mereka dapat keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, rumah merupakan institusi penting bagi membentuk jati diri, nilai pegangan dan akhlak biar apa pun status setiap individu dalam masyarakat.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan yang bertanggung jawab sudah pasti mencari jalan untuk menyediakan rumah yang baik, mampu dimiliki dan berkualiti kepada semua peringkat masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat memperluaskan skim sewa beli berkenaan di beberapa kawasan di bandar raya ini termasuk di perumahan pangsa Kangkar Tebrau, Seri Alam dan rumah pangsa kos rendah bagi penempatan semula setinggan yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini.