Golongan Muda Perlu Tingkat Kemahiran Agar Kekal Relevan Dengan Industri

JOHOR BAHARU, 24 Okt  — Golongan muda hari ini diingatkan agar tidak melepaskan peluang meningkatkan kemahiran masing-masing bagi memastikan mereka kekal relevan terhadap keperluan industri.

20151024011942Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata memiliki ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi untuk bersaing dalam pasaran kerja masa kini kerana pihak industri sentiasa mahukan kemahiran baharu selari dengan pembangunan pesat negeri.

Menurutnya, di peringkat kerajaan, pihaknya juga sentiasa menyediakan peluang kepada golongan itu memperbaiki nilai tambah melalui penganjuran pelbagai program termasuk latihan.

“Namun, peluang itu tidak dapat dirasai sekiranya mereka sendiri enggan berubah dan meningkatkan keupayaan diri,” katanya berucap merasmikan majlis Johor Mahir bersama usahawan muda di Kilang Bateri, di sini malam tadi.

Khaled berkata, pertemuan seumpama itu tepat pada masanya bagi membolehkan kerajaan memahami keinginan dan kecenderungan minat para belia di negeri ini.

Beliau juga yakin ia dapat mendukung usaha kerajaan untuk menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu di Malaysia.