Usul Peringkat Cawangan Penting Untuk Penambahbaikan Tadbir Urus Kerajaan – Razali

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengerusi Jawatakuasa Tadbir Urus Usul, Datuk Razali Ibrahim berkata UMNO di peringkat akar umbi memainkan peranan yang penting dalam menyumbang idea penambah baikkan pentadbiran kerajaan dengan membawa usul ketika persidangan yang kemudiannya dibawa ke peringkat tertinggi untuk diperbincangkan.

Menurut beliau, sepanjang persidangan di peringkat cawangan, bahagian UMNO semenjak penubuhan parti ini di seluruh negara, telah banyak usul-usul yang dikemukakan oleh pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi, yang kemudiannya menjadi dasar kepada pentadbiran kerajaan setelah ianya dikaji dan dipertimbangkan.

razaliibrahim-300x265“Salah satunya ialah penubuhan TEKUN yang menjadi institusi pinjaman kewangan bagi peniaga-peniaga kecil juga lahir melalui usul-usul yang dibawa oleh para perwakilan UMNO di peringkat akar umbi. Justeru itu, persidangan di peringkat cawangan amat penting bagi ahli-ahli di peringkat akar umbi melontarkan idea melalui usul-usul yang dibawa di dalam persidangan.

“Di bawah penambahbaikan Biro Perlembagaan Dan Perundangan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, telah meletakkan satu tanda aras kerja untuk memberikan pemahaman kepada ahli UMNO berhubung kepentingan mesyuarat cawangan untuk membawa suara akar umbi ke peringkat atasan.

“Sebab itu, pada tahun lepas, segala usul yang kita terima dari peringkat akar umbi telah kita salurkan kepada kementerian yang berkaitan untuk menjawab usul-usul tersebut dan kita kembalikan jawapan tersebut kepada bahagian-bahagian yang membangkitkan perkara-perkara tersebut,” ujarnya dalam satu sidang media di pejabat Timbalan Menteri di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Katanya lagi, untuk tahun ini, pihak jawatankuasa usul sedang dalam proses bagi menyediakan keseluruhan usul-usul yang diterima dari bahagian-bahagian.

“Ingin saya maklumkan di sini bahawa proses ini merupakan satu usaha kepimpinan tertinggi UMNO agar segala usul yang dikemukakan oleh akar umbi yang mana kita tidak pernah mengenepikan atau membazirkan kerja-kerja mereka di peringkat cawangan.

“Justeru itu, kita telah mengasingkan beberapa usul yang berkaitan dengan ekonomi, sosial dan pendidikan yang berkaitan dengan bajet. Usul-usul berhubung perkara ini kita telah mengambil langkah awal untuk mengemukakan kepada kerajaan supaya dalam bajet 2016 usul-usul yang dibawa oleh peringkat akar umbi dapat diberikan pertimbangan.

“Dalam jumlah usul tersebut, kebanyakkan berkisar tentang bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat, peningkatan kemahiran dalam bentuk kemahiran dan latihan kepada rakyat dan yang ketiga adalah usul untuk kerajaan agar mengawal harga-harga barang,” jelasnya.

Sehubungan itu kata Razali, Ini menunjukkan bahawa idea dan usul yang dibuat oleh ahli-ahli diperingkat cawangan dan bahagian seluruh negara sebenarnya telah banyak sumbangan dan manfaat kepada kerajaan.

“Kita juga ingin memberikan pengiktirafan tersebut kepada seluruh ahli dan perwakilan UMNO di seluruh negara di atas usul dan idea-idea penambahbaikan yang datangnya dari suara akar umbi telah banyak memberikan manfaat kepada pentadbiran dan dasar kerajaan hari ini.

“Ini peranan penting yang dimainkan oleh pimpinan UMNO diperingkat akar umbi untuk menyuarakan dan rintihan rakyat terbanyak di peringkat akar umbi untuk dipertimbangkan dan dikaji oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan beban rakyat di negara ini,” katanya. –

 

Sumber: UMNO-Online