Bajet 2016: Isu Masalah Sosial Juga Perlu DiBeri Perhatian Khusus – Fahariyah

LEDANG, 23 Okt – Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Fahariyah Md Nordin berkata, selain isu ekonomi yang mungkin akan diberikan penekanan dalam pembentangan Bajet 2016 petang ini, beberapa isu semasa juga perlu diberi perhatian khusus.

Antaranya adalah isu keselamatan, mengandung di usia muda, pendatang asing dan hak penjagaan anak kepada pasangan yang bercerai juga harus diberikan perhatian oleh kerajaan.

Ujarnya, contohnya isu mengandung di usia muda ataupun anak luar nikah perlu diberi perhatian agar masalah pembuangan bayi dapat dibendung.

“Selain itu isu hak penjagaan anak juga penting agar anak-anak tidak menjadi mangsa perebutan ibu bapa.

farah“Sekarang ini banyak dapat kita lihat masalah perebutan anak. Ibu atau bapa membawa lari anak malah ahli keluarga turut masuk campur menjadikan masalah ini bertambah rumit. Yang menjadi mangsa adalah anak itu sendiri.

“Bagaimana pembesaran mereka nanti… Jika dari kecil mereka telah dibelengu dengan masalah yang tidak sepatutnya maka pembentukan mereka untuk menjadi insan yang berguna pasti terganggu,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Fahariyah, isu asrama untuk anak bandar yang datang dari keluarga yang porak-peranda, ibu-bapa yang bercerai atau sebagainya juga perlu diberi penekanan kerana kebanyakan asrama sekarang hanya memberi keutamaan kepada anak kampung yang kurang kemampuan.

“Apa yang saya maksudkan adalah asrama bagi sekolah harian. Ini tidak kurang penting kerana mereka yang berasal daripada keluarga yang bercerai berai pasti memerlukan ruang untuk belajar dengan lebih baik.

“Maka ini adalah antara isu yang saya harapkan mendapat perhatian di dalam Bajet 2016 ini. Tapi saya yakin, pembentengan Bajet ini pastinya adalah yang terbaik,” katanya lagi.